Monday, February 7, 2011

Petikan dari Utusan MAlaysia Online

ARKIB : 14/09/2010

Menjunjung kasih ibunda tercinta

Kasih ibu sepanjang jalan
Tiada batas tiada sempadan
Kasih anak hanya sepanjang penggelan
Ibarat galah, penjolok buah di hujung dahan
SEORANG wanita berhati mulia yang kasih sayangnya kepada saya tiada berbatas, telah berpulang ke rahmatullah pada waktu Imsak, subuh Selasa 14 Ramadan (26 Ogos) yang lalu. Allah SWT telah memindahkan roh ibunda saya, Hajah Zubaidah Muhammad Syarif pada usia 90 tahun dari dunia yang fana ke alam barzakh. Innalillah waina ilaihi raji'un. Semoga diampunkan Allah segala dosanya dan diterima Allah semua ibadatnya.
"Minta ampun Ummi, minta ampun, minta ampun..." Saya teresak-esak menangis seperti anak kecil apabila pertama kali menyelak kain yang menutup wajah ibu saya yang sudah tidak bernyawa. Jasadnya terbujur di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.
Saat yang paling saya takuti selama ini, akhirnya terpaksa saya hadapi. Walaupun saya telah duga bahawa saatnya semakin dekat, namun saya masih belum bersedia melepaskan pemergian wanita berhati mulia yang paling saya cintai itu.
Masih terlalu banyak hutang saya kepadanya yang belum berbayar, walaupun arwah tidak pernah mengharapkan pembayaran kembali. Kerana itulah kata-kata spontan yang terucap dari bibir saya antara sedu sedan:"minta ampun Ummi, minta ampun..."
Airmata yang meratap kewafatan ibunda saya itu mungkin sudah berkurangan membasahi pipi setelah tiga minggu berlalu, tetapi rasa sedih dan sayu masih bertakung di lubuk hati dan menyesakkan dada dari semasa ke semasa. Pada pagi 1 Syawal lalu, rasa sedih semakin menghiris kembali apabila saya menyedari bahawa untuk pertama kalinya, saya menyambut Aidilfitri tanpa mencium tangan dan mengucup pipi ibunda yang saya cinta.
Realiti kematian ibu semakin kuat terasa apabila suara takbir bersahutan dari menara masjid, corong radio dan layar televisyen. Sambil memandu kereta dari Bangsar ke Tanah Perkuburan Jalan Ampang, tempat jasad ibunda saya bersemadi, sedikit demi sedikit mata saya mulai basah.
Setelah berdoa dan membaca surah Yassin di hadapan pusara, saya menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Asysakirin di KLCC. Kemudian, saya menuju ke Taman Keramat dengan rasa sedih dan sayu yang semakin mendalam.
Setibanya di rumah yang didiami oleh ibunda saya semasa hayatnya, saya dapati Ancu (emak saudara) saya, Hajah Jawanis Syarif, sedang bermenung di hujung serambi dengan wajah muram. Setelah bersalaman, kami berdakapan dalam sedu sedan. Tangisan saya berlanjutan di hujung katil dalam bilik tidur arwah ibu saya semasa hidupnya.
Tangisan saya semakin tidak tertahan-tahan mengenangkan segala jasa dan kasih sayangnya selama lebih 65 tahun arwah membelai dan memanjakan saya. Seiring dengan rasa sedih itu, saya juga merasa tersiksa oleh penyesalan dan bersalah apabila mengingatkan dosa dan kelalaian saya kepadanya.
Saya pasti bahawa semua dosa dan kelalaian saya itu telah diampunkannya tetapi saya juga pasti bahawa masih banyak dosa dan kelalaian itu yang tidak saya sedari. Selain sedih dan sayu, rasa bersalah dan berdosa itulah yang menjadi beban emosi yang saya pikul.
"Minta ampun Ummi, minta ampun, minta ampun...". Saya minta ampun kerana tiba-tiba saya semakin sedar (dan semakin menyesal) bahawa sebagai seorang anak, saya tidak melakukan secukupnya apa yang patut saya lakukan semasa arwah masih hidup, terutama semasa beliau sakit menjelang meninggal.
Saya minta ampun kerana sejak kecil sehingga remaja, dewasa dan usia tua, tentu banyak kesalahan dan keterlanjuran (serta kecuaian dan kedegilan) saya yang mengecewakan harapan dan melukakan hati ibu. Sama ada saya lakukan secara sengaja atau tidak sengaja, secara sedar atau tidak sedar, namun kesalahan tetap kesalahan yang minta diampunkan.
Saya rujuk Ayat 23 Surah Al-Israa, antara lain mengingatkan seseorang anak supaya "...janganlah engkau berkata kepada mereka (ibu bapa kamu) sebarang perkataan kasar, walaupun perkataan seperti 'Cis atau Hah' dan janganlah engkau menengking, menyergah mereka...").
Lafaz 'minta ampun' di celah-celah sedu sedan saya berulang kembali apabila saya mengucup pipi dan dahi ibunda saya untuk kali terakhir sebelum seluruh jasadnya yang sudah dikapan diikat dan disolatkan. Setelah itu, dalam kesedihan (kerana meninggalnya ibu saya itu) dan dalam penyesalan (kerana kelalaian berbakti dan membalas jasanya), yang dapatsaya buat kini hanyalah berdoa dan bermunajat.
Tetapi lebih daripada itu, saya juga patut bertanya (dan memberi tafsiran atau memetik kutipan kata-kata orang bijaksana) tentang 'misteri serta realiti suatu kematian' dan tentang 'keistimewaan hakikat seorang ibu'.
Seorang pengarang Perancis, Madame de Stael (1766 - 1817) antara lain pernah menulis: "We understand death for the first time when he puts his hand upon one whom we love."
Tentu ibu atau ayah adalah seseorang yang sangat kita kasihi. Kematian salah seorang daripada ibu bapa kita akan memberi pemahaman yang lebih mendalam kepada kita tentang hakikat kematian.
Di saat-saat kematian orang yang kita cintai itu, kita akan berduka lara kerana kehilangan seseorang yang mustahil untuk diganti. Kita akan menyesal kerana mengecewakan harapan dan melukakan hatinya. Kita kesal dan menyesal kerana tidak melakukan secukupnya apa yang patut kita lakukan semasa hidupnya, terutama semasa Allahyarham/Allayarhamah sakit menjelang meninggal.
Itulah yang saya alami apabila ayahanda saya, Allahyarham Haji Abdullah Jaafar, 84 tahun meninggal dunia kira-kira lapan tahun lalu. Pengalaman duka yang sama berulang tiga minggu yang lalu apabila giliran ibunda saya, Allahyarhamah Hajah Zubaidah Syarif menyahut seruan Ilahi untuk berhijrah ke alam barzakh.
Saya berdoa kepada Allah agar arwah kedua ibu bapa saya diberi kesejahteraan di alam barzakh dan dimasukkan ke dalam syurga di akhirat nanti. Akhirulkalam, saya merakamkan junjungan kasih kepada keduanya dengan mengutip kata-kata Abraham Lincoln (1809-65): "All that I am, or hope to be, I owe to my angel mother."
SENATOR DATUK DR. FIRDAUS HAJI ABDULLAH adalah Pakar Rujuk di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

No comments:

Post a Comment